Maksud tamadun
Perkataan tamadun berasal daripada
bahasa Arab, iaitu daripada perkataan mudun dan madain. Satu lagi perkataan
Arab yang mempunyai kaitan dengan perkataan Tamadun ialah madana yang mempunyai
dua maksud, iaitu tinggi budi bahasa dan pembukaan bandar. Perkataan daripada
inggeris yang mempunyai persamaan makna dengan tamadun ialah civilization yang
berasal daripada bahasa Greek, iaitu civitas yang bermaksud bandar. Tamadun
juga boleh diertikan sebagai peradaban.
Setiap masyarakat
di dunia mempunyai definsi mereka yang tersendiri tentang konsep tamadun. Bagi
masyarakat Barat, tamadun dikaitkan dengan pembangunan lahiriah terutamanya
dalam hal-hal kebudayaan seperti penulisan, undang-undang, kesenian dan
pembandaran. Menurut pandangan beberapa sarjana Barat, misalnya Gordan Childe,
pencapaian lahiriah merupakan kayu ukur kemajuan tamadun dalam sesebuah
masyarakat. Darcy Riberio dan R.A Buchanan pula menolak unsur rohaniah
sebaliknya hanya menekankan kepentingan dan pembangunan lahiriah dalam proses perkembangan
tamadun.
Menurut islam,
tamadun mestilah merangkumi pembangunan lahiriah dan rohaniah. Oleh itu, islam
menekankan pembangunan lahiriah dan rohaniah. Kedua-dua unsur ini penting untuk
mengukur tahap ketamadunan sesebuah masyarakat. Mengikut pandangan Syed Naquib
al-Attas, tamadun ialah pencapaian tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan
yang luhur oleh sesebuah masyarakat. Pandangan sarjana Islam ini turut disokong
oleh sarjana Barat seperti Richard Sullivan yang mengakui bahawa unsur rohaniah
sangat penting salam konsep tamadun.
Secara umumnya,
konsep tamadun tidak hanya mementingkan pencapaian berbentuk lahiriah seperti
kesenian dan pembinaan kota semata-mata tetapi juga mestilah diiringi dengan
pencapaian dalam aspek rohaniah, tatasusila dan moral.
Ciri-ciri tamadun
Menurut penulis buku teks sejarah
tingkatan 4, usaha manusia untuk menyelesaikan kehidupan mereka dengan alam
sekeliling telah menjadikan manusia lebih kreatif dan inovatif. Kreativiti dan
inovasi manusia bergantung pada pencapaian pemikiran dan kekuatan rohaniah
mereka. Oleh itu, proses pembentukan tamadun merupakan manifestasi kepada
pencapaian manusia dalam kedua-dua aspek ini.
Kewujudan
petempatan kekal merupakan salah satu ciri utama kemunculan tamadun. Kehidupan
secara menetap membawa kepada corak hidup yang lebih sistematik. Kawasan yang
dipilih untuk petempatan tetap amat penting untuk memastikan kelangsungan
bekalan makanan. Hasil inovasi manusia kemudiannya melahirkan kemajuan dalam
pertanian, iaitu dari segi penanaman dan penyimpanan makanan serta penternakan
binatang. Contohnya,ialah penciptaan peralatan baru seperti cangkul dan
penggunaan teknologi seperti sistem pengairan yang baik.
Peningkatan
jumlah penduduk membawa kepada sebuah kehidupan berorganisasi yang merangkumi
aspek sosial, ekonomi dan politik. Kehidupan secara berorganisasi ini mampu
mengatur cara hidup manusia untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran kehidupan
mereka. Pada peringkat awal, organisasi sosial atau masyarakat yang wujud
adalah pada tahap yang paling ringkas iaitu keluarga.
Bagi
mengendalikan masyarakat yang lebih besar sistem pemerintahan mula dibentuk
untuk menjalankan pentadbiran. Seseorang pemimpin ataupun raja selalunya
menggunakan unsur magis dan mendakwa dirinya sebagai wakil tuhan demi
mendapatkan pengiktirafan sebagai ketua pemerintah. Kewujudan sistem
pemerintahan membawa kepada kelahiran sistem perundangan yang menjadi panduan
kepada masyarakat demi menjaga keamanan dan kemakmuran sesebuah tamadun.
Pembentukan
organisasi sosial dan politik membawa kepada pengkhususan pekerjaan dalam
tamadun awal. Peningkatan dalam produktiviti manusia menyebabkan pengkhususan
pekerjaan menjadi lebih penting. Keadaan ini boleh menghasilkan kemakmuran dan
kestabilan politik yang secara langsung akan membawa pula kepada peningkatan
dan perkembangan ekonomi.
Agama dan
kepercayaan memainkan peranan yang penting dalam perkembangan tamadun. Ini
adalah kerana kedua-duanya amat berkait rapat dengan pengiktirafan terhadap
golongan pemerintah, pembahagian sosial masyarakat, perkembangan ilmu
pengetahuan, kesenian, dan pembinaan dalam proses pembentukan tamadun awal.
Proses kemunculan tamadun bermula apabila manusia mencuba untuk memahami dan
menyesuaikan kehidupannya dengan alam sekeliling.
Penciptaan bahasa
dan sistem tulisan adalah sebahagian daripada perkembangan ilmu pengetahuan
dalam proses pembentukan tamadun yang hasilnya dapat dilihat sehingga hari ini.
Penghasilan sistem tulisan amat penting untuk tujuan urusan pentadbiran seperti
penyimpanan rekod, penulisan undang-undang, dan hal-hal keagamaan. Bahasa dan
tulisan merupakan instrumen paling penting untuk menyampaikan, memperkembangkan
serta mencatatkan idea dan pemikiran manusia.
No comments:
Post a Comment